« Kembali Ke Berita dan Aktiviti


PROGRAM My Kampung My Future (MKMF) yang digerakkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjaya melonjakkan usahawan muda di luar bandar.

Yang penting program itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda terbabit seperti yang dibuktikan oleh belia di Mukim Pulau Tiga, Teluk Intan, Perak.

Malah Pulau Tiga telah dipilih oleh pihak kementerian sebagai antara perintis MKMF di mana sejak dimulakan tahun lalu ia telah menunjukkan pencapaian yang luar biasa. Kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kesungguhan belia kampung itu sendiri selain sokongan pelbagai agensi kerajaan di bawah pendekatan lautan biru (NBOS). 

Hasil kejayaan itu beberapa belia dari Mukim Pulau Tiga telah menerima beberapa anugerah seperti Pengusaha iGROW, Azri Zahier Azmi telah memenangi pertandingan Rural Business Challenge 2013 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, di Putrajaya, baru-baru ini.

Begitu juga kemenangan Mohd. Fauzi Salleh, seorang pengusaha pemprosesan buah asam gelugor yang memenangi Anugerah Inovasi Pertanian, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat negeri Perak. Dalam majlis yang sama juga, seorang lagi anak Pulau Tiga, Suhaimi Idris turut memenangi Anugerah Penternak Jaya Negeri Perak.

Seorang anak jati Pulau Tiga, Nordin Abdul Malek berkata, kunci kejayaan belia di kampung itu kerana peranan dan semangat mereka sendiri. Nordin berkata, konsep perniagaan iGROW , milik syarikat Green Hand Rich Sdn. Bhd. misalnya sangat berbeza dengan perniagaan lain di luar bandar dengan menawarkan konsep pelancongan agro dan latihan pertanian serta pembangunan desa.

Nordin yang juga Pengerusi Eksekutif iGROW berpendapat, pencapaian berkenaan menjadi inspirasi kepada belia-belia lain untuk memajukan pelbagai peluang ekonomi di Mukim Pulau Tiga.

Kepelbagaian sumber ekonomi tradisional di Pulau Tiga turut membuka peluang kepada golongan muda untuk meneroka dan mengembangkan kegiatan pertanian di Pulau Tiga.

"Selain kegiatan pertanian, terdapat juga potensi penternakan, perikanan, pemprosesan makanan dan pelancongan desa," kata Nordin. Katanya, begitu juga kegiatan warisan seperti industri kraf labu, persembahan kebudayaan dabus dan lotah serta tinggalan sejarah pemerintahan kesultanan Perak yang masih wujud di Mukim Pulau Tiga.

Pembangunan MKMF yang mendapat reaksi dan tindakan yang pantas penduduk Pulau Tiga turut menarik perhatian kerajaan Negeri Perak. Dalam lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Saarani Mohamed baru-baru ini, turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk menyokong dan membantu mengembangkan lagi kegiatan ekonomi generasi muda di Mukim Pulau Tiga.

Berdasarkan komitmen belia tersebut, MKMF akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam tempoh yang singkat pada masa depan.

Apatah lagi jika dikongsikan sokongan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Perak. Ini boleh dijadikan model kejayaan menggalakkan golongan muda moden memajukan kampung-kampung di Malaysia.