« Kembali Ke Berita dan Aktiviti


Impian menjadi jutawan tertanam dalam jiwa pelatih iGROW. Manusia sering menganggap bahawa orang muda adalah golongan yang penuh dengan cita-cita, inspirasi dan idealisme. Sifat semula jadi dan jiwa golongan muda sememangnya begitu, terutama dalam memburu cita-cita kehidupan.

Bagi para pelatih Institut Agro Usahawan ( iGROW), keinginan untuk menjadi jutawan tani pada masa hadapan sememangnya melekat dalam diri mereka sejak hari pertama melangkah ke pusat latihan itu.

Ini berikutan langkah yang diambil oleh institut itu dengan memberi penekanan dan pengisian latihan kepada misi melahirkan usahawan tani muda sebaik sahaja tamat latihan.

Selain menitikberatkan aspek kemahiran yang terkandung dalam modul Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pendedahan terhadap disiplin dan suasana persekitaran perniagaan pertanian sebenar sentiasa mengimbangi rutin harian mereka.

Bagi pelatih dari Keningau Sabah, Rizal Mohd. Hassan Tiau, dia menaruh harapan supaya menjadi jutawan satu hari.

Rizal ingin mengubah nasib hidup memandangkan dia bukan sahaja datang dari keluarga petani tetapi juga tinggal di daerah yang menjadi sebahagian zon pertanian penting di negeri itu.

"Saya sering melihat beberapa usahawan tani di Keningau yang berstatus jutawan hasil daripada usaha pertanian.

"Walaupun kehidupan mereka kelihatan seperti kebiasaan masyarakat kampung lain, mereka sebenarnya bergelar jutawan atau kaya-raya dengan menjadi usahawan tani yang serius serta berdisiplin", katanya.

Dia sanggup terbang ke Perak dari Sabah kerana yakin konsep latihan seperti di tawarkan iGROW mempunyai visi dan misi yang berbeza dengan institut latihan kemahiran awam dan swasta lain terutama dalam bidang pertanian.

Sementara itu, rakannya, Mohd. Kamarul Asraff Ahmad dari Kuantan, Pahang menganggap hasrat menjadi jutawan tani itu bukanlah perkara yang mudah tetapi pencapaian seumpama itu bukan mustahil untuk dikecapi suatu hari nanti.

"Setiap kejayaan bermula dengan cita-cita atau angan-angan. Tetapi inspirasi sedemikian sangat perlu untuk menyuntik semangat kami setiap hari.

"Apatah lagi cabaran kami dalam sektor pertanian sangat mencabar berbanding dengan kerjaya dalam bidang kemahiran lain," ujar Mohd. Kamarul Asraff.

Dia yang sebelum ini pernah memasuki sekolah teknik pertanian di Pahang bertekad mengusahakan pertanian sendiri sesudah tamat latihan di kampung.

"Kelebihan kami di sini ialah mereka yang mahu berniaga sudah diatur dan diasuh sejak dalam latihan lagi", ujarnya.

Pendedahan kisah kejayaan dan pengalaman graduan tani yang pernah dibimbing oleh pihak pengurusan iGROW menjadikan pelatih lebih memahami realiti dunia keusahawanan.

Sebelum menuju status jutawan, mereka perlu mengharungi detik cabaran sebagai usahawan tani, bermula dengan saiz kecil hingga berskala besar.

Namun begitu, pelatih dari Sarawak , Muhammad Nazeem Aini pula banyak mengambil iktibar daripada kisah-kisah usahawan tani muda yang pernah dihasilkan oleh iGROW di beberapa institusi sebelum ini.

"Kami agak bernasib baik kerana terdapat beberapa kisah kejayaan dalam program MyAgrosis Agrobank yang dibimbing sendiri oleh Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek.

"Kami difahamkan, peminjam dana MyAgrosis Agrobank itu adalah antara kumpulan yang paling ramai di Malaysia", katanya.

Oleh itu, Muhammad Nazeem berpendapat peluang menjadi usahawan sudah memang menunggu tetapi terpulang kepada setiap graduan untuk mengusahakan secara serius dan berani hingga mampu bergelar jutawan tani.

Maklumat lanjut hubungi Azri Zaher Azmi 0124842144.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130527/ag_01/Impian-jutawan-pelatih-iGROW#ixzz2V84T3BS9 
© Utusan Melayu (M) Bhd