« Kembali Ke Berita dan Aktiviti


MELATIH tenaga kerja bagi sektor pertanian bukannya mudah. Memang Malaysia memiliki institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melahirkan modal insan dalam sektor itu.

Tetapi, masih terdapat ruang-ruang kosong dalam melahirkan tenaga kerja terlatih dalam bidang pertanian terutama dalam memastikan mereka itu apabila tamat pengajian bukannya makan gaji, tetapi menjadi usahawan tani yang berjaya dan seterusnya menyumbang kepada tabung makanan negara.

Kekosongan itu yang cuba diisi oleh Institut Agro Usahawan (iGROW) yang turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengadakan kerjasama erat bagi membangunkan modal insan dalam bidang pertanian.

Kerjasama pintar antara iGROW dan IPTA-IPTA tempatan itu meliputi pelbagai bidang kemahiran terutama pertanian, industri asas tani, kraf, senibina Melayu tradisional, warisan sejarah serta seni budaya.

Pelajar-pelajar IPTA akan ditempatkan di institusi berkenaan pada masa dan jadual tertentu untuk melengkapi kemahiran dan pengetahuan sebenar dalam pengajian mereka.

Menurut Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek, kerjasama itu akan terus diperluaskan pada tahun ini dan itu terbukti apabila pihaknya turut mendapat permintaan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk melakukan perkara yang sama.

"Sebagai perintis, kami telah memulakan kerjasama dengan politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pertanian dan industri asas tani. Pelajar-pelajar mereka dihantar ke iGROW untuk mempelajari kemahiran berkaitan bagi memenuhi modul pengajian mereka", katanya.

Pusat latihan berkenaan menawarkan pelbagai bidang latihan kerana keunikan iGROW itu sendiri yang berkonsepkan latihan dalam komuniti ekonomi desa.

Kelebihan iGROW membangunkan program My Kampung My Future di Mukim Pulau Tiga membolehkan mereka yang menjalani latihan di situ akan turut melibatkan diri dengan penduduk kampung berkenaan yang terkenal dengan pelbagai produk usahawan desa.

"Kombinasi kemahiran dan akademik seumpama ini bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan serta keboleh pasaran graduan, bahkan telah menyatukan institusi berasaskan akademik (IPTA dan IPTS) dengan institusi latihan kemahiran (ILKA/ILKS). Jika ini direalisasikan dan dikembangkan ke peringkat yang lebih meluas, tidak akan wujud jurang atau perbezaan yang memisahkan antara dua institusi berkenaan," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusia UiTM, Tan Sri Wan Zahid Mohd. Nordin ketika menjadi tetamu kepada program Agriculture Business Real Exposure (ABLE) di Kompleks Warisan iGROW, Pulau Tiga, Kampug Gajah, Perak, berkata, masyarakat negara ini seharusnya mencontohi kejayaan Korea Selatan yang memantapkan sistem pendidikan mereka dengan memberi penekanan terhadap kepentingan kombinasi kemahiran hingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti serta memenuhi permintaan ekonomi dunia.

"Masyarakat Korea Selatan bijak menterjemahkan idea dan pemikiran tanpa terlalu retorik atau hebat dengan penggunaan perkataan-perkataan bombastik. Namun ketinggian ilmu, kemahiran dan disiplin mereka menjadikan Korea Selatan adalah kuasa ekonomi dunia yang disegani pada hari ini." katanya pada majlis yang turut dihadiri pelajar-pelajar politeknik Jeli, UiTM Seri Iskandar, Universiti Banda Aceh dan pelatih-pelatih iGROW.

Wan Zahid turut menasihati pelajar-pelajar IPT agar mula melihat industri luar bandar sebagai sumber penjanaan ekonomi lumayan ada masa depan.

Oleh itu, beliau berpendapat bahawa kerjasama iGROW dengan IPT merupakan satu inisiatif yang dapat memberi nilai tambah kepada keboleh pasaran graduan melalui kaedah kemahiran merentasi pencapaian akademik.

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan ketika menutup program ABLE pula berkata, projek di Mukim Pulau Tiga yang menjadi fokus iGROW sangat unik kerana mempunyai pelbagai potensi untuk diterokai oleh para pelajar sebagai sumber mengasah ilmu,pengalaman dan bakat kemahiran.

"Kepelbagaian potensi di Mukim Pulau Tiga, boleh menjadi satu dimensi baru pengajian dan latihan kemahiran berasaskan komuniti melalui inisiatif iGROW," katanya yang juga Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140115/ke_03/Melatih-modal-insan#ixzz2sDoX1Ehu 
© Utusan Melayu (M) Bhd