« Kembali Ke Berita dan Aktiviti


NAMA beliau dengan latihan kemahiran vokasional serta pembangunan usahawan memang sudah sinonim.

Dari Perlis hingga ke Sabah, nama Nordin Abdul Malek, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan ( IGROW) bukanlah begitu asing kerana komitmen serta perjuangannya yang konsisten dalam meningkatkan keusahawanan di kalangan generasi muda, golongan miskin dan masyarakat petani di luar bandar.

Bagi Nordin, tiada jalan penyelesaian terbaik untuk meningkatkan ekonomi bumiputera melainkan mereka perlu menceburi sektor perniagaan secara serius.

Beliau berpegang kepada hadis Rasulullah yang mengatakan bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan.

‘‘Janji Allah dan Rasulnya sudah jelas bahawa kekuatan ekonomi itu sangat bergantung kepada perniagaan tetapi masyarakat kita masih bersikap retorik dalam hal memperkasakan ekonomi yang berlandaskan tuntutan agama" katanya.

Walaupun mengakui banyak inisiatif yang cuba dilakukan oleh kerajaan, namun beliau yang sudah berpengalaman dalam program pembangunan usahawan selama 17 tahun turut berasakan bahawa masyarakat Bumiputera tidak boleh bergantung kepada pendekatan kerajaan semata-mata.

Ini kerana proses tersebut akan melambatkan usaha meningkatkan pencapaian Bumiputera dalam ekonomi.

“Kita hargai usaha agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan isu ekonomi bumiputera tetapi sebahagiannya suka melaksanakan dasar sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kadangkala cara NGO berjuang juga penuh dengan retorik," katanya.

Beliau percaya bahawa jika seluruh umat Melayu di Malaysia bermula dengan pemimpin, pegawai kerajaan, NGO dan usahawan sendiri konsisten dengan fokus tindakan yang strategik, proses mempertingkatkan keupayaan usahawan bumiputera agar setanding dengan bukan Bumiputera akan dicapai dengan pantas.

Menyedari hakikat itu, beliau telah bertekad untuk melakukan perubahan dengan memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional, jati diri dan keusahawanan.

Pada pandangan Nordin, kombinasi ketiga-tiga elemen itulah yang menjadi kunci kejayaan kaum lain menguasai ekonomi di Malaysia.

‘‘Kita tidak boleh lagi melaksanakan program pembangunan usahawan yang bersifat syok sendiri kerana akhirnya semua yang diusahakan akan gagal, membazirkan perbelanjaan dan lebih parah lagi bila kelemahan itu dilihat sebagai impian retorik," tegas beliau.

Menurut Nordin, kemahiran adalah faktor utama kejayaan seseorang usahawan. Mengambil contoh diri beliau sendiri yang berlatar belakangkan bidang pendidikan, survival beliau hingga mampu sampai ke tahap hari ini adalah disebabkan oleh kemahirannya dalam bidang pendidikan.

Yakin dengan pendirian tersebut, Nordin telah melahirkan ramai usahawan berasaskan teknikal dan vokasional sejak tahun 1996.

Antara resipi lain yang menjadikan program keusahawanan beliau mencapai anjakan berganda ialah penekanan kepada aktiviti post latihan iaitu bimbingan usahawan dan pemantauan.

Kini beliau berbangga kerana telah melahirkan ramai usahawan muda sektor pertanian yang sekali gus dapat memajukan kampung halaman masing-masing.

Malah, dalam program 1Azam, beliau bukan sahaja dapat meningkat pendapatan para pesertanya tetapi juga melahirkan usahawan yang boleh dibanggakan kerajaan dan masyarakat terutama di negeri Sabah.

Pada masa ini, beliau sedang melaksanakan program berbentuk komuniti usahawan yang telah dimulakan di Sabah sebagai projek perintis. Antaranya ialah Komuniti 1Azam Karambunai dan Keningau serta Kelab Sabah Young Agro Businessman (Sabah YAB) yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Hasil kejayaan konsep komuniti tersebut telah mengilhamkan Nordin untuk menjayakan program My Kampung, My Future di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak. Selain menjadikan iGROW sebagai katalis di kampung berkenaan, beliau telah menyusun strategi perlaksanaan untuk generasi muda memajukan pembangunan kampung.

Sokongan kuat oleh kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan biru Kebangsaan (NBOS) yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa di Mukim Pulau Tiga baru-baru ini menguatkan lagi semangat Nordin untuk menjadikan Pulau Tiga sebagai model komuniti usahawan kampung generasi baru bertaraf dunia.

“Pencapaian kami setakat ini membuktikan bahawa bukanlah mustahil untuk kita mempercepatkan proses pencapaian dan keupayaan Bumiputera dalam ekonomi tetapi jihad tersebut hendaklah dilakukan dengan penuh iltizam, ikhlas dan sabar menghadapi segala dugaan. Ini bukannya retorik," katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130520/ag_03/Jihad-ekonomi#ixzz2V83M0H50 
© Utusan Melayu (M) Bhd