« Kembali Ke Berita dan Aktiviti


Cubaan iGROW mempelopori latihan kemahiran berasaskan pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia ternyata berbaloi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Ini berdasarkan kepada semakin ramai pelatih mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang tanaman makanan di pusat latihan tersebut di Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak.

Biasanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan mengikuti kursus SKM di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) atau institu latihan kemahiran swasta (ILKS) secara percuma (biasiswa).

Bagaimanapun, tetapi peluang yang terhad itu tidak menghalang ramai belia yang bertekad untuk menceburi sektor pertanian di iGROW sungguhpun mereka terpaksa mendapatkan pinjaman latihan.

Bagi Muhammad Syafiq Anuar, dia pernah memohon mengikuti latihan di tempat lain sebelum ini dengan harapan mendapat tajaan percuma.

Namun, setelah tiada tawaran diterima sekian lama, peluang latihan iGROW diterima dengan hati yang gembira, biarpun beliau perlu mengambil pinjaman PTPK.

"Saya amat bersyukur kerana kemudahan pinjaman PTPK telah merealisasikan hasrat kami untuk mengikuti kursus pertanian tanpa mengharapkan lagi pembiayaan percuma", katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Setelah gagal mendapat tawaran percuma di ILKA dan ILKS, beliau hampir kecewa tetapi tawaran latihan di iGROW bersama pakej pembiayaan pinjaman PTPK menguatkan semangatnya untuk tidak menoleh ke belakang lagi.

Rakannya Mohamad Fikri Kasim, dari Kota Bharu Kelantan berpendapat bahawa latihan berpakej yang ditawarkan oleh iGROW telah menarik minatnya kerana jarang sekali wujud tawaran sedemikian.

Pada mulanya, dia berasa agak sangsi terhadap pakej berkenaan tetapi setelah diberi penjelasan menerusi kuliah dan melihat sendiri konsep kemudahan iGROW, timbul keyakinan bahawa semua itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijayakan.

"Konsep latihan dan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi cita rasa pertanian generasi baru dan bersifat futuristik kerana segala kemudahan dan peralatan di tapak amali merupakan tanaman integrasi yang mengguna pakai keluasan tanah secara optimum" ujar Mohamad Fikri.

Menurutnya, sistem pertanian yang ringkas tetapi bersepadu telah membuka mata para pelatih tentang potensi sektor pertanian untuk menjana pendapatan secara optimum yang mampu melahirkan petani berpendapatan tinggi pada masa hadapan.

"Sekarang kami telah faham bahawa kaedah pertanian secara integrasi membolehkan kami mempunyai pelbagai aktiviti pertanian dalam satu kawasan yang terhad dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani. Pada saya, inilah satu inovasi baru dalam memajukan pertanian di kampung," tambah Fikri lagi.

Kombinasi kemahiran ini meyakinkan Mohamad Hafifi Noorzain bahawa tindakannya mengikuti SKM di iGROW adalah tepat dan berbaloi

Ini kerana, dia turut diajar pelbagai kemahiran lain yang menjadi penentu kejayaan mereka sebagai usahawan bila tamat latihan nanti.

"Kaedah 5 dalam 1 ini membolehkan saya memantapkan perniagaan dalam pertanian pada masa hadapan.

"Semua contoh kemudahan disediakan di tapak Kompleks Warisan iGROW di Mukim Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak boleh dilihat dengan mata kasar.

"Ini membolehkan kami melaksanakan aktiviti yang sama bila pulang ke kampung halaman masing-masing nanti," kata beliau yang berasal dari Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahier Azmi berkata, minat yang tinggi dalam sektor pertanian memperlihatkan trend belajar dengan pembiayaan pinjaman seperti PTPK mula diterima oleh belia demi mencapai cita-cita mereka.

"Kami sangat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan PTPK yang turut menyumbang kepada jumlah kemasukan pelatih yang semakin meningkat ke iGROW," ulas beliau.

Sebarang pertanyaan berkaitan latihan Sijil Kemahiran Malaysia di iGROW sila hubungi Azri Zahier di talian 012-4842144.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130513/ag_02/Latihan-kemahiran-pertanian#ixzz2TFJ1BETI 
© Utusan Melayu (M) Bhd