« Kembali Ke Berita dan Aktiviti


Kerajaan negeri akan terus membela usahawan kecil di negeri ini supaya mereka dapat bersaing dalam dunia perniagaan hari ini yang semakin mencabar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, golongan itu memerlukan bimbingan berterusan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. "Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif membantu golongan usahawan kecil supaya mereka terus maju dan berharap taraf hidup mereka akan bertambah baik.

"Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk golongan ini seperti pinjaman tanpa faedah dan kursus-kursus perniagaan. "Kerajaan juga membantu menyediakan tempat-tempat untuk berniaga seperti warung dan kios percuma kepada peniaga yang terpilih, juga pemansuhan lesen penjaja di seluruh negeri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan sempena program My Kampung, My Future di Kampung Pulau Tiga di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah, Ahmad Fauzi Abdullah.

Mengenai lawatan ke kawasan berkenaan, Saarani berbangga dengan penyertaan golongan belia di Pulau Tiga dalam pelbagai industri kecil seperti memproses makanan ringan, kraf labu, ternakan, perladangan dan pelbagai perniagaan lain. "Kita boleh nampak betapa bersemangatnya golongan belia di Pulau Tiga di dalam bidang industri kecil.

 "Produk yang mereka hasilkan di sini akan pasaran secara meluas dan saya yakin Pulau Tiga akan menjadi antara pusat pengeluar produk tempatan yang dikenali," ujarnya.